19 mangsa sudah berjaya dikeluarkan, 10 darinya meninggal dunia, semuanya kanak-kanak, sembilan berjaya dikeluarkan dengan selamat termasuk seorang dewasa dipercayai sukarelawan.
Seorang lelaki yang tertimbus lapan jam dalam kejadian tanah runtuh dikeluarkan dengan selamat.
Lelaki dikenali sebagai Abang Iwan berusia 33 tahun itu ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 10.20 malam.
Manakala tujuh lagi masih hilang. Wartawan Agendadaily, Lukman Abdullah dan jurugambar Mohd Hiekal Rosli yang berada di tempat kejadian melaporkan suasana di sana masih hujan dengan lebih 300 petugas berbagai agensi terlibat dalam misi mencari dan menyelamat.
Sebelum itu, dalam kejadian jam 2.15 petang tadi, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat dekat sini Sabtu.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perjalanan ke lokasi kejadian.
Selain itu, Ketua Kelab Putera 1 Malaysia Datuk Abdul Azeez Rahim bersama pasukan sukarelawannya turut serta dalam misi menyelamat tersebut. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Liew, Menteri Kerjaraya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor turut berada di lokasi memantau keadaan.
Sebuah rumah penduduk dijadikan stesen perubatan semantara di mana doktor pakar dari Hospital Ampang bertugas memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa yang dikeluarkan sebelum dihantar Hospital berdekatan.
Agendadaily difahamkan, semua yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa berusia 22 tahun dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.
Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini.
Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni termasuk lima penjaga. Kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.
Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang kesemua penghuni rumah anak yatim itu berada dalam sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang.
Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah itu yang terletak di luar rumah anak yatim itu, yang terletak di lereng bukit itu.
Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.
Beliau berkata polis akan menyiasat punca kejadian.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.
Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga 8.20 malam operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.
"Sesungguhnya, Solatku, Ibadatku, Hidupku & Matiku.....hanya kerana ALLAH TAALA..."
No comments:
Post a Comment