Ustaz Azhar Idrus ( Original )
Ahli  sunnah wal-jamaah bersependapat bahawa orang-orang yang telah mati,  mendapat manfaat dari doa-doa dan sedekah orang hidup untuk mereka.
Imam  murtadho al-zabidi menyatakan dalam kitab syarah ihya’ dengan katanya :  Berkata imam al-suyuthi dalam kitab syarhus-sudur “dan adapun bacaan  Al-Quran atas kubur maka sahabat-sahabat kita telah pun memutuskan  pensyariatannya”. Al-Za’farani pula berkata “ Aku sendiri telah  menanyakan imam syafi’e tentang membaca Al-Quran di tepi kubur lalu  beliau menjawab yang demikian itu tidak mengapa.
Kata imam  Al-Nawawi dalam kitab syarhul muhazzab : Disunatkan bagi penziarah kubur  membaca apa yang mudah daripada ayat Al-Quran dan mendoakan untuk  mereka sesudahnya, ini telah di naskan oleh Imam Syafi’e dan juga telah  dipersetujui oleh sahabat-sahabatnya. Dalam tajuk lain Imam Nawawi  menambah percakapannya dengan mengatakan “jika mereka dapat khatamkan  Al-Quran atas kubur adalah lebih af-dhol” -habis .
Salah seorang  guru kepada Al-Hafiz Ibnu Hajar iaitu yang masyhur dengan gelaran Ibnu  Qatthon telah ditanya kepada beliau soalan iaitu : Adakah sampai pahala  bacaan Al-Quran itu pada simati ataupun tidak? . lalu soalan itu  dijawabnya dalam satu risalah bernama al-qaulu bil ihsan al-amim fil  intifa’e al-mayyiti bil quran al-azhim dengan panjang lebar, ringkasan  daripada jawapannya adalah:
Khilaf di kalangan ulama’ tentang  pahala bacaan untuk simati , sebahagian mereka berpendapat bahawa  pahalanya itu tidak sampai kepada simati dan ini adalah masyhur pendapat  mazhab syafie dan malik, dan sebahagian lain pula dari kalangan ulama’  berpendapat bahawa pahala sampai kepada mereka dan ini adalah pendirian  imam ahmad selepas dia mengeluarkan kenyataan sebelum itu iaitu membaca  Al-Quran atas kubur adalah bid’ah, tapi bahkan setelah itu di nuqilkan  dari kenyataannya yang mengatakan bahawa sampai pahala kepada simati apa  sahaja dari amalan sedekah , solat , haji , puasa , iktikaf , bacaan  Al-Quran , zikir dan sebagainya, dan di nuqilkan juga dari Imam Syafie  bahawa mayat mendapat manfaat dengan bacaan Al-Quran atas kuburnya.
Pendapat  al-qadhi Abi al-Thoiyyib pula bahawa pahala pembaca Al-Quran di kuburan  dan mayat adalah seperti orang yang hadir [yakni sebagaimana para  hadirin mendapat rahmat dan berkat kerana hadir mendengar bacaan dari  qori Al-Quran samalah juga halnya mayat yang dibacakan disampingnya  Al-Quran] maka diharapkan baginya rahmat dan keberkatan. Abdul karim  al-syalusi berkata: “pembaca Al-Quran jika dia meniatkan bacaannya agar  pahala itu dihadiahkan kepada simati maka ianya tak akan sampai jika  niatnya itu di pasang sebelum melakukan ibadah tersebut, kerana bacaan  Al-Quran adalah di katagorikan dalam ibadah badan maka tidak jatuh pada  selainnya, tetapi jika dia membaca Al-Quran terlebih dahulu kemudian dia  menghadiahkan pahala bacaan itu pada simati maka itu dikira sampai dan  memberi manfaat padanya.
Wallahu a’lam wa ahkam… 
"Sesungguhnya, Solatku, Ibadatku, Hidupku & Matiku.....hanya kerana ALLAH TAALA..."
No comments:
Post a Comment