Bekas  Mufti Perlis  Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan dakwaan 'pengkhianat  Islam' hanya  boleh diterima pakai untuk pihak yang membenci kepada  perpaduan umat  Islam dan bukan terhadap penentang penyatuan Umno dan  PAS.
 Beliau juga menegaskan adalah lebih baik Umno dan PAS meneruskan perjuangan masing-masing demi keseimbangan politik negara.
 "  Saya tidak fikir asimilasi parti ke  dalam parti yang lain yakni PAS  menjadi Umno, Umno menjadi PAS akan  membuahkan hasil keseimbangan  politik dalam negara kita," jelasnya.
"  Kalau PAS menjadi Umno, Umno menjadi  PAS nanti tidak akan ada  keseimbangan parti politik. Apa yang akan ada  hanya kerakusan kuasa dan  wewenang (hak dan kekuasaan untuk berbuat  sesuatu atau untuk  mengeluarkan perintah),” kata Dr Mohd Asri kepada  TvSelangor.
 Dr  Mohd Asri mengulas kenyataan Mufti  Perlis, Dr Juanda Jaya yang dipetik  oleh Utusan Malaysia sebagai  mendakwa  pihak-pihak yang menentang  penyatuan Umno dan PAS adalah  sebagai pengkhianat Islam.
 "  Kita kena tengok dulu apa maksud  penyatuan itu, jika penentangan itu  dibuat memang kerana dia membenci  penyatuan orang Islam dalam erti kata  ukhwah ummat Islam kerana dia  tidak suka lihat orang islam berpadu   maka kenyataan itu boleh diterima  pakai," kata Dr Mohd Asri.
 "  Tetapi terdapat kemungkinan bahawa  sesetengah pihak itu tidak  menentang penyatuan ummat Islam, tetapi  mungkin dia ingin melihat  adanya kepelbagaian di dalam politik dan  keseimbangan politik kerana  negara kita mengamalkan sistem demokrasi,"  ujarnya.
 Utusan  hari ini memetik Dr. Juanda  sebagai berkata pihak-pihak yang menentang  penyatuan antara UMNO dan Pas  sebagai pendukung fikrah puak Khawarij  iaitu sebuah kumpulan yang amat  bencikan kesatuan di dalam Islam.
 Dr Juanda tidak dapat dihubungi untuk mempertahankan kenyataan beliau kepada  Utusan.    
 Jelas  Dr Asri, tidak salah untuk PAS dan  Umno cuba mencari titik  persefahaman atas isu-isu kepentingan sama yang  boleh memartabatkan  syiar Islam di negara ini.
 Ini boleh dilakukan tanpa mana-mana parti melepaskan agenda politik masing-masing dalam membela rakyat.
 "  Bersatu ini  boleh jadi dalam  prinsip-prinsip Islam, bersatu dalam  perkara-perkara yang menyentuh  kepentingan bersama," kata Dr Asri.
 "  PAS dan Umno mesti menghubungkan diri  diantara satu sama lain di atas  dasar  ukhwah Islamiah. Bagaimanapun  jangan menafikan peranan  parti-parti ini untuk melakukan check and  balance dalam pentadbiran  negara,” tambah beliau. 
 Minggu  lalu, Perdana Menteri Najib Razak  sekali lagi menggesa PAS  meninggalkan Pakatan Rakyat kerana mendakwa  hanya DAP mengaut  keuntungan daripada kerjasama pembangkang itu.
 Pas  menolak perlawaan itu dan memberi  pelbagai contoh bagaimana perjuangan  Umno untuk mendokong Islam tersasar  dan semakin terhakis apabila parti  itu dibelit dengan rasuah dan  penyelewengan kuasa.
 Presiden  PAS, Abdul Hadi Awang berkata  pihaknya tidak sekali-kali tidak akan  bekerjasama dengan Umno BN dalam  melakukan kezaliman dan meruntuhkan  keadilan kepada rakyat.
 Dr  Asri berkata penyatuan serta  kerjasama antara UMNO dan Pas telah  dibincang serta dibahaskan sejak  sekian lama,  sama ada di media mahu  pun di kalangan rakyat.
 Beliau  berkata penyatuan dua parti itu  adalah lebih baik dibataskan atas  dasar hubungan Ukhwah Islamiah sahaja  dan bukan untuk mencari  kemenangan politik.
 "  Saya berharap  PAS dan UMNO mempunyai  hubungan ukhwah Islamiah  persaudaraan Islam, hormat menghomati sebagai  muslim, tahu hak-hak  antara satu sama lain  sebagai Muslim. Tetapi dalam  masa yang sama ia  tidak menafikan untuk mereka berbeza dalam politik  dan sentiasa menjadi  pengimbang antara satu sama lain dalam politik,  kata beliau.  
"Sesungguhnya, Solatku, Ibadatku, Hidupku & Matiku.....hanya kerana ALLAH TAALA..."
No comments:
Post a Comment