KUALA  LUMPUR, 2 April — Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menyambut  baik  jaminan Datuk Seri Adnan Yaakob berhubung loji pemprosesan nadir  bumi  Lynas Corporation di Gebeng, tetapi mendakwa Menteri Besar Pahang  itu  tidak cukup maklumat untuk memberi jaminan ia benar-benar selamat.   Sehubungan itu kata Fuziah, Menteri Besar Pahang perlu mendapatkan   satu kajian dan pandangan daripada badan bebas berkenaan impak pembinaan   loji Lynas serta juga impak operasinya ke atas keselamatan awam,   kesihatan, kehidupan kekeluargaan dan sosial, ekonomi dan mata pencarian   rakyat setempat, alam sekitar serta kesan terhadap kualiti kehidupan   bagi rakyat di kawasan Kuantan.
Kelmarin, Adnan memberi jaminan bahawa pembinaan kilang pemprosesan   milik Lynas Corporation dari Australia di kawasan perindustrian Gebeng   adalah selamat dan tidak akan memberi kesan buruk kepada penduduk   sekitar.
Adnan memberitahu kerajaan negeri telah mendapatkan penjelasan dan   pandangan daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom mengenai tahap   keselamatan penduduk terhadap kesan radioaktif atau radiasi dari kilang   tersebut sebelum bertindak meluluskan tapak pembinaan kilang itu.
“Antara persoalan yang harus telah ditanya oleh Menteri Besar kepada   pihak pakar ialah kenapa tiada negara di dunia melainkan negera China   telah bersetuju untuk membenarkan loji pemprosesan nadir bumi dibina di   negara mereka sejak tiga dekad kebelakangan ini,” kata beliau dalam   surat dihantar kepada Adnan, semalam. Salinan surat turut diedarkan   kepada media.
Selain itu kata Fuziah, Adnan juga harus bertanya kepada negeri jiran   Terengganu yang telah menolak permohonan Lynas Corporation untuk   membina loji yang sama di Teluk Kalung pada 2007.
“YAB MB juga harus bertanya berkenaan sisa pepejal hasil dari   pemprosesan yang akan mengandungi bahan torium — bagaimanakah ia akan   diuruskan dan peraturan apakah yang akan diguna pakai oleh Lynas.
“Adakah  Solid Radiactive Waste Management yang akan diamalkan oleh   Lynas apabila mula operasi akan menepati piawaian negara China atau   piawaian British atau piawaian Australia? Piawaian mana yang akan diguna   pakai nanti?” kata Fuziah, yang juga Naib Presiden PKR, dalam surat   tersebut.
Fuziah berkata, Menteri Besar juga harus bertanya kepada pakar, apa   kesan sisa yang mengandungi radioaktif  kepada alam sekitar dan   seterusnya terhadap industri perikanan di kawasan Kuantan memandangkan   Sungai Balok berada di kawasan Gebeng.
“YAB MB juga harus meminta kaji selidik dijalankan tentang  bagaimanakah  nanti persepsi pelancong terhadap keselamatan mereka  sekiranya mereka  memilih Kuantan sebagai destinasi percutian. Sama ada  mereka akan masih  tertarik dan berminat untuk datang ke Cherating   bercuti di sebelah  loji pemprosesan nadir bumi?
“Memandangkan loji pemprosesan ini nanti akan menjadi loji terbesar  di  dunia selain yang ada di China, persoalan di atas adalah amat  penting,”  katanya lagi.
Fuziah mendakwa Menteri Besar hanya boleh berpuas hati setelah  mendapat  jawapan yang menyenangkan daripada kesemua persoalan-persoalan   tersebut.
“Amanah kepimpinan ialah amanah besar dan rakyat mengharapkan  pemimpin  untuk bertindak telus serta bertanggungjawab,” katanya lagi.
Dalam kenyataannya, Adnan berkata pembinaan kilang itu sengaja   dijadikan isu politik oleh pihak tertentu yang didalangi pihak parti   pembangkang.
Kelmarin, beliau dan semua pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri   diberikan taklimat kali kedua daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan   pakar tenaga atom, yang diketuai Ketua Pengarahnya Raja Datuk Abdul   Aziz Raja Adnan.
Menurut Adnan, sebelum meluluskan permohonan daripada syarikat   berkenaan pada tahun lepas, ia telah melalui beberapa proses yang ketat   dan membabitkan beberapa badan teknikal daripada Lembaga Pelesenan   Tenaga Atom dan pihak-pihak yang berkaitan dengan nuklear.
Rabu lalu, kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan pintu masuk   bangunan Parlimen kerana membantah pembinaan kilang pemprosesan bahan   kimia itu.
Kumpulan itu bimbang kemungkinan penyebaran sisa radioaktif yang  bakal  dihasilkan selepas projek bernilai RM700 juta itu beroperasi  kelak.
No comments:
Post a Comment