<Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman>
Semasa saya  memberikan kuliah kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan  professional termasuk para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang  heboh isu wanita seksi ditangkap di sebuah kelab malam. Lalu timbul isu  hak peribadi wanita untuk memakai apa jua pakaian yang diingininya,  termasuk yang seksi. Lalu, semasa kuliah ini saya mengambil peluang  bertanya kepada kumpulan wanita ini soalan mudah berikut :- 
"Apakah agaknya sebab wanita ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju sendat dan nipis?" 
Ada  di antara mereka mula memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau  ramai yang bercakap, saya tidak mendengar butirannya. Apabila saya  meminta seorang wakil, seorang menjawab dengan yakin. 
" Untuk nampak cantik ustaz..." katanya sambil tersenyum malu. 
Saya bertanya pula : "Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?" 
"Tentulah kepada kaum lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya. 
"Baiklah,  jika lelaki tersebut sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin  menyentuh bahagian indah yang dilihatnya boleh tak ?" Tanya saya  menguji. 
"  Isyh, ustaz ni.. tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment'  (gangguan seksual) tu ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini. 
"Jika  demikian, tidakkah para wanita merasakan, tindakan mereka yang  memaparkan bahagian yang menarik di tubuh mereka itu juga merupakan  gangguan seksual kepada lelaki?" Tambah saya. 
" Erm, macam mana tu ustaz?" Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi. 
"Ye  la, bila orang lelaki yang dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan  peha wanita tu contohnya, mestilah terganggu syahwatnya, lalu terdetik  keinginan seksualnya secara tidak terkawal" .."Kerana itu saya katakan  berpakaian seksi adalah suatu bentuk gangguan seksual kepada orang  lelaki di sekelilingnya" 
"Cuba  bayangkan, kucing yang lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang  digoyang-goyankan di hadapannya tentu geram kucing tu, malah silap  haribulan, tentu diterkamnya muka orang yang mengacah juga" Tambah saya  lagi memberi keyakinan. 
"Tapi  perlu diingat, tak semua kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan  liar je, demikian juga lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya,  tetapi tak dinafikan bahawa ramai juga yang gagal dan liar" 
"Akhirnya,  kerana suasana yang tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di  tempat awam pula, terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki  liar tadi. Masalahnya, anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12  tahun yang mungkin menjadi mangsa tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di  ketika itu, samada wanita itu bertudung, berjubah, kanak-kanak dan  sebagainya tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki seperti ini, asalkan  suasana cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan ramai), akan  dilepaskan nafsunya secara kekerasan" Terang saya dengan panjang lebar,  mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini. 
Lebih  terangnya, sama-sama fikirkan adakah jika para wanita yakin bahawa jika  anda berada di hadapan Baginda SAW hari ini, adakah Rasulullah akan  tersenyum atau sebaliknya? . Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang  wanita seperti ini untuk mendapat Syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?.  Benar, mungkin sesoerang wanita itu berjaya meraih pandangan istimewa  dari kaum lelaki hasil pendedahan kecantikannya yang memukau. Tapi  keseronokan itu hanyalah palsu dan sementara sahaja, serta tidak  menambah sebarang nilai buat kehidupan kekal di Barzakh dan Akhirat  selain menambahkan tahap azab sahaja. Apa yang jelas, pakaian yang  ditunjukkan oleh wanita Arab yang solehah dengan penutupan aurat yang  sempurna di zaman ini sudah tentu boleh memberi sedikit info kepada kita  bahawa inilah mugkin pakaian yang dipakai oleh wanita Islam di zaman  Nabi serta mendapat redha dari mata dan hati baginda SAW. Tidakkah para  wanita hari ini juga berminat meraih redha dari mata dan hati baginda  SAW?. 
BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT MENGELAK DARI WANITA DISAKITI? 
Ramai  wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini mencebik  bibirnya apabila tajuk ini disebutkan, mereka tidak percaya langsung  fakta yang saya sebut diatas. Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja  melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan  kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media  massa. 
Hakikatnya,  sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk  merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik  buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu. Dalam hal ini, Allah SWT  berfirman :- 
"Hai  Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan  isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan  jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih  memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka  tidak diganggu." (al-Ahzab: 59) 
Jilbab,  iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum  wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi  menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka  suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan  rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan  yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan  kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu  sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu  tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan  dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah  diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik. 
Jadi  jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama  perintah ini adalah kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh  orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina.  Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau karena  tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sebahagian orang,  tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan  perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya  dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan  menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab  Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan) 
Ayat  ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat  yang diletakkan oleh Allah SWT adalah sebagai kaedah dan cara terbaik  bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti. 
BANTAHAN KAUM WANITA 
"Eleh,  tetapi hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah  setengahnya kena bunuh dijerut dengan tudungnya pulak, kanak-kanak pun  kena rogol dan bunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la  ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu ?. Hujah balas yang selalu saya  dengar bila isu ini ditimbulkan. 
"Pernah tak anda merasa amat marah sepanjang hidup anda ?" Tanya saya kembali. 
"Pernah juga ustaz..kenapa ustaz, apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya. 
"Biasanya  bila seseorang itu sedang amat marah, sempat tak agaknya ia berfikir  bahaya atau tidak tindakan yang dibuatnya sebagai contoh; ada orang yang  sedang marah kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang  (seperti berita yang saya baca di akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh  tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu dengan bantal dan macam-macam lagi  bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising itu, setelah beberapa  ketika mungkin baru seolah-olah dia tersedar, lalu cemas dan mungkin  menyesal" 
"Demikianlah  juga nafsu jahat, bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat  samada kepada pakaian dan umur wanita mahupun isteri orang  dihadapannya, sasarannya hanya mendapatkan hajat jahatnya, kerana itulah  wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan  juga terancam, tanpa dapat dinafikan juga peranan vcd, laman, akhbar,  majalah dan novel lucah " terang saya. 
"Tapi  macam mana pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita  dari disakiti ?" Balas mereka dengan penuh minat kali ini. 
"Jika  kita lihat dengan teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh  kaum wanita. Ini bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya  dan memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari  tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti secara umum  akan tergugat dariu mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu nak  beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab menjaga keselamatan  kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing" Jelas saya 
"Maka  bila ada yang seksi, ini bermakna, ia sedang mengancam kaum sejenisnya  yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu  kebinatangan lelaki jahat yang sedang tidur" 
PENGALAMAN MENUMPANG KE MASJID 
Saya  masih ingat, dalam perjalanan ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat  di sebuah Masjid di Ibu Negara. Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan  pada hari tersebut saya menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami  beberapa rakan sekerja yang lain. Tiba-tiba semasa berada di lampu  trafik, tiba-tiba suasana dalam kereta agak bising dengan  bunyi..uiiiii..oii...peh..mengancam...dan sebagainya, diikuti dengan  kata-kata : 
"Astaghfirullah..korang  ini teruk betul la, kan ustaz ada dengan kita ini.." Kemudian "disambut  dengan kata rakan di belakang, ye la..ini la yang bagus kita pergi  masjid dengan ustaz, terjaga sikit" 
Anda  tentu dapat menggagak apa yang dilihatnya? Alhamdulilllah saya tidak  sempat melihat apa-apa kerana sedang membelek pelbagai mesej soalan  hukum hakam tertunda yang memenuhi telefon bimbit saya. Bila saya tanya,  kenapa? dengan malu-malu mereka menyalahkan sesama sendiri akibat  ‘gatal mata' melihat skirt-skirt pendek wanita KL, samada wanita Melayu  mahupun Cina disekitar kawasan segitiga emas itu. 
Cuba  bayangkan, perasaan lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke  masjid, semuanya juga telah berumah tangga, tapi nafsu masih teransang  apabila didedahkan kepada permandangan seperti itu. Jahatkah mereka? 
"Gatal  dan dah miang sangat kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni, tak  sangka, harap suami kita tak macam ni" mungkin itulah yang akan  dikatakan oleh sebahagian besar pembaca wanita sekarang ini. 
Tapi  itulah cabaran terbesar lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita  dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai  ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT : 
زين للناس حب الشهوات من النساء والبنين .. 
"Dihiaskan (diuji) bagi manusia itu, nafsu syahwat dan keinginan serta kecintaan kepada wanita, anak-anak, harta..." 
Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda : 
ما تركت بعدي فتنة أضر على الرجال من النساء 
Ertinya  : "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa  mudarat kepada lelaki selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab  Zikir & Doa ) 
ANTARA LAWAK & HUKUM 
Saya  juga masih ingat, sewaktu di tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering  kali apabila mereka terlihat aurat wanita sebegini akan disebut .. "tak  pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan?". Sedih saya melihat  sikap sebahagian umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum  hakam akibat kejahilan mereka. 
Sebuah hadith : "Dari  Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w.  tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka  jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu  Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua  kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a. 
Apabila  ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa  juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda :- 
ان العبد ليتكلم بالكلمة ما يتبين فيها يزلّ بها إلى النار أبعد مما بين المشرق والمغرب 
Ertinya  : " Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat  tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu  boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan  barat" ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988) 
KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT 
Ketika  ini, saya mengambil masa sekitar satu jam untuk ke pejabat, memandu  kereta dari Puchong ke Jalan Sultan Ismail. Setiap hari, laluan jalan  pergi dan pulang ini akan mempamerkan kejahilan wanita Islam hari ini  tentang penutupan aurat. Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita  hari ini ?. Jawabnya seperti berikut :- 
KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja. 
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek. 
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya. 
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'. 
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya. 
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya. 
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung. 
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya. 
Sebahagian  wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia  adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT:  ertinya : 
"Hendaknya  mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU  MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR."  (an-Nur: 31) 
Pengertian  khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup  kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub' kata jama' (bentuk plural) dari  kata jaibun, yaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh  pakaian/baju. 
Setiap  perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian  dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh  membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh  orang-orang yang jahat hatinya. 
Menurut  Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud perhiasan perempuan dalam  ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk  mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut  dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up  dan sebagainya. 
Dalam  ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya  menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan.  Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh  karena itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa  terzahir itu serta ukurannya. 
Misalnya  sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan  apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin. 
Yang  berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus  dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua  tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah  apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, 'Atha',  Auza'i dan lain-lain. 
Bagaimanapun  Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang  sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak  gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah.  Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih  diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya. 
Menurut  Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang  biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai  gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk  berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai  kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu  semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi  jelas hukumnya adalah haram. 
Namun,  kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh  untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya itu sendiri kalau  mungkin, demi menjaga meluasnya kerusakan dan banyaknya kefasikan di  zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai  paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah. 
"Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya." (an-Nur: 31) 
Kesemua  jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat  seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan  mu'minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan  perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga  (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai),  perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang  kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain.  Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada  rukhsah untuk dinampakkan. 
Amat  jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan  perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak  kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan  bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah,  seperti: buah dada, paha, dan sebagainya. 
Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda: 
"Ada  dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya  itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai  buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan  yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan  maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka  ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau  syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan  demikian." (Riwayat Muslim) 
Mereka  dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada  tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup  aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu  tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan  pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof  Al-Qaradawi) 
‘Bukhtun'  adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk)  besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena  rambutnya ditarik ke atas. 
Disebalik  keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman  sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan  pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula  apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini 
Larangan Nipis 
Saidatina  Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma' binti Abubakar pernah  masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya.  Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan: 
"Hai  Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup  umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini  -- sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Riwayat Abu Daud) 
Walaupun  terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis  lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini  tidak akan membawa fitnah. 
Dr  Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita  atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat  dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil  Islam) 
KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan. 
Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :- 
يرحم الله المتسرولات 
Ertinya  : Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di  sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah,  Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) . 
Menurut  Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita  jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan  para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka  para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai  respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa  At-Ta'rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831) 
Berdasarkan  dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tiadk  berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian  menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh. 
KESALAHAN KESEPULUH :  Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan  suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Samada menyanyi mahupun  bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana  sesaat sahaj ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu  mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu  memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak  hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang  mendendangkan lagu ketuhanan. 
Larangan  ini datang dari Firman Allah SWT : "Janganlah perempuan-perempuan itu  berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang  dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab: 32) 
TUJUAN TUNTUTAN MENUTUP AURAT 
Berdasarkan  dalil Al-Quran dan al-Hadith, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu  remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati'e dan  usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat  diperjuangkan oleh Syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat,  maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak  luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar  nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal Syaitan  mensasarkan dosa 'buka aurat' ini sebagai dosa pilihan utamanya ada  disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah ertinya :- 
"  Maka Syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk  menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya .."  Al-A'raf : 20) 
Ringkasnya, antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :- 
a) Perbezaan dengan binatang. 
Allah SWT berfirman : 
"  Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh  menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan" ( Al-A'raf : 26) 
Amat  jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja  yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru  barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia  menjatuhkan tahapnya selari dengan binatang yang tiada cukup kemampuan  dan aqal bagi menjalankan arahan penutupan aurat. 
b) Agar kaum wanita tidak disakiti 
Ia berdasarkan ulasan yang telah saya buat sebelum ini bersandarkan firman Allah SWT dari surah Al-Ahzab ayat 59. 
c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam. 
Ia juga boleh difahami dari surah Azhab ayat 59 tadi apabila Allah SWT menyebut : « .. yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam).. » 
Dari  sini jelas, menunjukkan salah satu fungsi tutupan aurat juga adalah  sebagai syiar diri sebagai penganut Islam. Firman Allah : « Barangsiapa yang membesarkan syiar Allah maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati » 
d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam.  Kita dapat memerhati bagaimana ‘trend' sesebuah organisasi atau  restoran hebat hari ini pasti meletakkan ‘dress code' tertentu bagi  kakitangannya dan para tetamunya. Ia pastinya bertujuan penjagaan  standard khas bagi organisasi dan restoran itu di tahap tertentu.  Sebagai contoh, kita tidak akan dapat melihat individu berselipar Jepun  di sebuah Persidangan Antarabangsa di PICC, Putrajaya mahupun di  kalangan kakitangan PETRONAS di pejabat mereka di Menara Berkembar.  Semua menjaga ‘standard' berbanding Tauke kedai runcit yang tidak  beruniform. 
Justeru,  Islam adalah satu agama dan cara hidup yang profesional pastinya begitu  lengkap menyediakan panduan melengkapi setiap sudut kehidupan manusia.  Dari hal-hal yang sulit seperti urusan di dalam tandas hinggalah ekonomi  dan kenegaraan. Walaupun demikian, Islam tidak mengarah umatnya membuat  perkara yang tidak rasional, justeru, sudah tentu ‘standard' pemakaian  yang diletakkan ini tidak membebankan bahkan ia amat bertepatan dengan  logik aqal manusia yang sihat. 
e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT. 
Saya  kira hal ini amat jelas, dari firman Allah ertinya : Dijadikan hidup  dan mati adalah untuk menguji siapakah yang terlebih baik amalannya"  (Al-Mulk : 2) 
DON'T JUDGE A BOOK BY ITS COVER 
Ungkapan  ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap  mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering  mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi  serta mendedahkan aurat. 
"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya. 
"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi. 
Benarkah  hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam  Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah  dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu : 
"Sesungguhnya  Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi  melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim) 
Simpati  bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang  sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya  digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja. 
"Seorang  pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa  waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak  disiapkan, lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam  kerja kalau begini sikap kamu" 
Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang" 
Adakah  anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ?. Adakah Allah  SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar  perintahNya ? 
Hakikatnya,  sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah  dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata. Jika merujuk  kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya : 
"Ketahuilah,  bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya  baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan  seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim) 
Berdasarkan  hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat  di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya  sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah  tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan  kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat  pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua  adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti  sekadar menunjuk-nunjuk sahaja. 
Justeru,  'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila  perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting  what's inside the heart of a person'. 
Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith : 
إنما  أنا بشر , وإنكم تختصمون إلىّ , ولعلّ بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض ,  فأقضي بنحو ما أسمع , فمن قضيت له من حق أخيه شيئاَ فلا يأخذه , فإنما أقطع  له قطعة من النار 
Ertinya  : Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes  pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih  cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan  hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku  jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang  cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka jangalah kamu  mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka"  (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632,  no 3920 ) 
Hadith  ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat  hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga  dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati  terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik  oleh Islam. 
Kaum wanita perlu menyedari bahawa  dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh  dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita  bukan mendaat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap  dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa  yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia  berdasarkan sabda Nabi SAW 
من سن في الإسلام سنة سيئة فعليه وزرها ووزر من عمل بها من غير أن ينقص شيئاً 
Ertinya  : Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan  dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." (  Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih ) 
Termasuklah  dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan  auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa.  Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata  yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik ? setelah  gunungan dosa mengaratkan hatinya ?. 
Sesungguhnya  Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih  sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang  dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya  juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka  mengapa tindakan masih seolah meraguinya. ? 
Sekian 
Zaharuddin Abd Rahman 
www.zaharuddin.net"Sesungguhnya, Solatku, Ibadatku, Hidupku & Matiku.....hanya kerana ALLAH TAALA..."
No comments:
Post a Comment