<AzwanDengkil>
Mengejutkan. Tapi itulah statistiknya. Daripada statistik  yang dikeluarkan sendiri oleh Jabatan Pendaftaran Negara bagi tempoh  2006 - 2010 kadar kelahiran anak tidak sah taraf di Malaysia adalah  berjumlah 234,674 orang. Itu pun setelah didaftarkan dengan JPN.  Bagaimana dengan yang tidak berdaftar?
1 kelahiran anak tidak sah taraf setiap 11 minit adalah satu  angka yang sangat mendukacitakan semua pihak. Apa tindakan kita? Dan  sudah semestinya apa tindakan kerajaan? 
Dalam masa kita  sedang leka menonton siaran langsung bolasepak di kaca tv, dari mula  perlawanan hingga selesai, hampir 10 orang anak tidak sah taraf telah  dilahirkan. Satu kadar yang sangat mengejutkan sebenarnya. 
Daripada tempoh itu juga, kadarnya adalah meningkat dari setahun ke setahun sejak  2006 iaitu 38,258 kepada 44,234 (2007), 46,822 (2008), 52,378 (2009)  dan 52,982 (2010). Dan bagi tempoh itu juga, anak tidak sah taraf yang  lahir dari perut ibu beragama Islam adalah sebanyak 80,979 dan  pembahagiannya sejak 2006 13,545 didaftarkan dan jumlahnya meningkat kepada 16,100 pada 2007, 16,541 (2008), 17,303 (2009) dan 17,490 tahun 2010. 
Dimana  kepedulian kita? Jika kita terlalu berharap pada Jabatan Agama dan  agensi berkaitan sahaja memainkan peranan mereka, tanpa penglibatan  masyarakat sekeliling secara langsung, saya jamin statistik ini akan  pasti bertambah dan terus bertambah. 
Jabatan Agama dan agensi berkaitan juga harus mengetatkan  lagi penguatkuasaan keatas pasangan-pasangan belum berkahwin yang sering  berkeliaran di gedung membeli belah, taman rekreasi dan dimana-mana  sahaja. Satu akta perlu diwujudkan bagi mengeluarkan denda atau saman  keatas pasangan yang belum berkahwin berjalan berpegangan tangan atau  berkelakuan kurang sopan di khalayak ramai. Dari berpegangan tanganlah  akan berakhir dengan berpelukan diatas katil. 
Bagi ibu-ibu yang telah melahirkan anak tidak sah taraf ini  pula, satu denda atau penjara perlu dikenakan sebagai pengajaran.  Mungkin akan menyebabkan pertambahan kes buang bayi pula. Hukuman mati  keatas pembuang bayi hingga menyebabkan kematian bayi tersebut atau  hukuman penjara yang lebih lama keatas pembuang bayi sebagai tindakan  keras buat mereka. Ini penting, kerana jika tiada pelaksanaan  undang-undang yang lebih keras sebegini, jangan bermimpi untuk melihat  statistik itu menurun. 
Apa yang paling penting adalah usaha pencegahannya. Kerana  mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Allah SWT telah menggariskan  dengan terperinci dalam kitabNya dan Nabi Muhammad SAW telah tunjukkan  satu contoh terbaik bagaimana cara pergaulan antara lelaki dan wanita  yang sebenarnya. Hanya perlu ikut, laksana dan cari jalan bagaimana cara  pergaulan yang menepati kehendak Allah SWT dan bertepatan dengan sunnah  Rasulullah dapat diamalkan. Semoga kita semua dapat ambil bahagian  untuk membanteras perkara ini dengan sehebat-hebatnya. Wallahhua'lam...
"Sesungguhnya, Solatku, Ibadatku, Hidupku & Matiku.....hanya kerana ALLAH TAALA..."
No comments:
Post a Comment