Thursday, March 17, 2011

SIDROTUL MUNTAHA


Sambungan dari kisah yang lalu, iaitu selepas roh orang mu'min melepasi ketujuh-tujuh petala langit dengan diiringi oleh malaikat Solso'i, akhirnya roh tersebut sampai ke Sidratul Muntaha, iaitu suatu tempat yang sukar untuk dibayangkan oleh akal manusia.

Para malaikat penjaga Sidratul Muntaha bertanya, "Roh siapakah ini?". Lalu dijawab oleh malaikat Solso'i. Berkata lagi malaikat penjaga Sidratul Muntaha, "Ahlan wa sahlan sila masuk. Kami menunggu-nunggu ketibaan roh orang soleh ini kerana kami tahu segala amalannya yang ikhlas, sama ada ibadahnya yang sempurna, sedekah dan derma pengorbanannya yang ikhlas, jihadnya yang bersungguh-sungguh menegakkan agama Allah, walaupun menghadapi tentangan dan rintangan, berda'awah menyampaikan seruan Islam dan sebagainya. Kesemuanya kerana Allah s.w.t. semata-mata."

Kemudainnya roh tersebut dibawa oleh malaikat Solso'i melalui beberapa lautan yang terdiri dari lautan api, lautan cahaya, lautan gelap-gulita, lautan air, lautan salji dan akhirnya lautan kabus. Adapun keluasan setiap lautan itu kira-kira 1000 tahun perjalanan. Subhanallah... (teringat cerita-cerita fantasi Mat Salleh). Tak terjangkau oleh aqal manusia betapa luasnya alam ciptaan Allah s.w.t., tak terukur oleh sebarang alatan ukur. Maha Suci Allah yang tiada bandingannya.

Oleh itu betapa jauhnya perjalanan roh orang yang soleh, dari langit ke langit sehinggalah sampai ke Sidratul Muntaha yang tak mungkin dapat dilaksanakan oleh jasad.

Setelah melalui pelbagai lautan, roh tersebut seterusnya dibawa hingga ke 'Arasy. Ini merupakan kemuliaan anugerah Allah s.w.t. terhadap roh orang-orang mu'min yang soleh. Suatu anugerah yang Maha Tinggi yang menjadi kekaguman para malaikat penjaga setiap langit, penjaga Sidratul Muntaha dan malaikat pendokong 'Arasy. Itulah balasan kepada mereka yang hidupnya di dunia yang sementara dipergunakan sepenuhnya dengan mematuhi & mentoati segala perintah & suruhan Allah s.w.t. serta menhindari segala laranganNya.

Dari 'Arasy itu terdengar suatu pertanyaan dari Hadrat Yang Suci, dari sebalik tabir-tabir,"Roh siapakah yang malaikat bawa & iringi hingga ke 'Arasy ini?" Maka jawab malaikat Solso'i dan yang lainnya, "Inilah roh orang soleh yang ditugaskan kepadaku supaya membawa dan mengiringinya sehingga ke 'Arasy ini dan mempersembahkan ke Hadrat Allah s.w.t."

Ketika itu Allah s.w.t. berfirman kepada malaikat Solso'i, "Bawalah dekat kepadaKu, wahai sebaik-baik manusia yang Aku pimpin dari kalangan hambaKu."

 Bila sampai ke Hadrat Ilahi, Allah s.w.t. mendedahkan segala kekurangan dan kecacatan amal hambaNya itu sehingga roh yang soleh tersebut terasa punah segala harapannya dan begitu kerdil dan lemah sekali berhadapan dengan kesempurnaan Allah s.w.t. Dalam keadaan begitu Allah s.w.t. sebaliknya memberitahu bahawa Dia telah mengampunkan segala kesalahan dan menyempurnakan segala kekurangan yang ada pada hambaNya yang soleh tersebut. Sungguh luas rahmat & keampunan Allah s.w.t.... Ketika itu jua, hilanglah segala kegundahan lalu bertukar menjadi gembira yang amat sangat.

Dengan kata lain, walaupun para malaikat sudah berpuas hati dengan amalan seseorang yang soleh itu, sehingga dapat menembusi kesemua pintu-pintu langit sampai ke Sidratul Muntaha dan juga 'Arasy Ilahi, namun di sisi Allah s.w.t. masih lagi ada kecacatan dan kekurangan pada amal hamba-hambaNya. Demikianlah cermat & telitinya Allah s.w.t. dalam perhitunganNya, sebelum seseorang hamba yang soleh itu layak mendapat kurniaNya dan memasuki syurgaNya.

Oleh itu sama-samalah kita renungi (utamanya diri ana ini), bahawasanya untuk mendapat redho Allah s.w.t. bukanlah suatu perkara yang mudah & remeh.

 Imam Al-Ghazali pernah meriwayatkan bahawa ada seseorang telah bertemu dalam mimpinya dengan Yahya ibn Aksam, seorang alim yang merupakan guru kepada Imam Al-Bukhori. Dalam pertemuan itu, Yahya ibn Aksam ditanyanya, "Apakah yang Allah t.a. lakukan terhadapmu?"   Lalu Yahya ibn Aksam menjawab, "Ketika aku berada di hadapan Hadrat Yang Maha Suci, lalu Allah s.w.t. memanggilku, "Wahai ulama yang jahat, kamu buat itu dan ini, kesemuanya adalah perbuatan jahat."   Jawab Yahya ibn Aksam, "Bahwasanya aku mendengar satu Hadith daripada Zuhri, dan Zuhri mendengarnya daripada 'Ammar dan 'Ammar mendengarnya daripada 'Urwah dan 'Urwah mendengarnya daripada 'Aisyah dan 'Aisyah mendengarnya daripada Nabi s.a.w. dan Nabi s.a.w. mendengarnya daripada Jibril a.s. dan Jibril a.s. mendengarnya dari Allah s.w.t. Hadith tersebut berbunyi, "Sesungguhnya Aku (Allah) merasa malu hendak menyiksa seorang yang sejak mudanya sehingga ke hari tuanya dalam keadaan taat dengan Islam." Maka apabila aku bacakan Hadith tersebut, aku pun mematuhi apa yang Engkau kehendaki, aku tidak pernah syirik kepadaMu. Tetapi aku terkejut bila aku berhadapan denganMu wahai Tuhan, kerana dalam keadaan itu aku masih lagi tergolong dalam golongan ulama yang jahat. Maka jawab Allah s.w.t., "Benarlah engkau wahai Yahya dan benarlah Zuhri, 'Ammar, 'Urwah, 'Aisyah, Nabi Muhammad dan juga Jibril. Oleh itu aku ampunkan segala dosa engkau." Setelah itu barulah tenang hati Yahya ibn Aksam.
Yahya ibn Aksam bukanlah calang-calang orang. Beliau seorang alim yang terkenal yang telah berjaya mendidik seorang murid agung seperti Imam Al-Bukhori, tapi ketika berhadapan dengan Hadrat IIlahi, dia diseru sebagai ulama yang jahat. Maka cuba bayangkan nasib kita (terutamanya ana) yang hidup bercampur-baur antara toat & maksiat, dosa & pahala, baik & jahat....bayangkanlah....Allahu...Allah.

No comments:

Post a Comment