Sebagaiamana  kita sama maklum bahawa hukum mengumpat adalah haram. Mengumpat ialah  menceritakan tentang aib atau keburukan seseorang yang apabila orang  tersebut mendengarnya maka ia akan marah dan benci.
Dalam hal ini  Imam An Nawawy dalam kitabnya Riyadhus Salihin berkata: Ketahuilah  bahawa mengumpat adalah dibolehkan atas sebab-sebab tertentu dan  mengikuti lunas-lunas syara’ (agama), jika sesuatu yang penting tidak  mungkin tercapai kecuali dengannya. Mengumpat yang diperbolehkan-oleh  agama itu ada enam jenis:
(1) KES PENGANIAYAAN.
Dibolehkan  kepada orang yang dianiaya untuk mengadu kepada pihak berkuasa seperti  Sultan, Qadhi atau lain-lain pihak yang mempunyai kuasa untuk memberi  keinsafan dan kesedaran kepada orang yang menganiaya itu. Umpamanya: Si  Polan itu telah menganiaya saya begini dan begitu.
 
(2) MOHON BANTUAN MENCEGAH KEMUNGKARAN.
Umpamanya  seseorang berkata kepada pihak polis atau bahagian pencegah maksiat: Si  Polan itu telah berbuat perkara sumbang, tolong tuan cegah perkara  tersebut. Maksud orang itu ialah menjadikan pihak berkuasa sebagai orang  tengah untuk mencegah kemungkaran. Tetapi jika tidak dengan maksud itu  maka hukumnya adalah haram.
 
(3) MINTA FATWA.
Umpamanya ia  berkata kepada mufti atau orang yang dipercayai boleh memberi fatwa:  Ayah saya atau saudara saya atau suami saya telah menganiaya saya,  adakah dia boleh berbuat demikian terhadap saya, bagaimana cara supaya  saya dapat terhindar dari penganiayaannya. Perkara ini dibolehkan kerana  hajat. Tetapi adalah lebih baik sekiranya dengan cara sindiran sudah  tercapai tujuannya. Namun demikian menyebut nama orang yang menzalimi  adalah dibolehkan sebagaimana dalam kisah Hindon diatas.
 
(4) MENGAJAK MUSLIMIN AGAR BERSIKAP BERHATI-HATI.
Umpamanya:  Kita menyebut tentang keaiban periwayat hadis seperti si polan  pendusta, tidak amanah, kurang kuat ingatannya dan lain-lain. Perkara  ini dibolehkan kerana tujuan kita berbuat demikian semata mata ingin  menjaga keaslian hadis Rasulullah saw. Sebab tanpa berbuat demikian maka  akan terdedahlah hadis Rasul saw dengan pemalsuan. Atau paling kurang  supaya orang ramai jangan sampai menyangka hadis hadis tersebut sebagai  hadis yang sahih. Apalagi jika orang berkenaan sememangnya orang yang  suka memalsukan hadis. Dan menyatakan keaiban orang lain ini juga boleh  jika kita diminta pandangan tentang peribadi seseorang yang akan menjadi  rakan kongsi perniagaan , atau menitipkan amanah , atau urusan  perkahwinan , demikian juga tentang berjiran dan sebagai.
 
(5) JIKA MELAKUKAN MAKSIAT DAN BID'AH SECARA TERANG.
Umpamanya:  Minum arak secara terang terangan atau seorang guru agama yang mengajar  ajaran-ajaran sesat seperti syirik dan bid'ah atau bomoh dan dukun yang  menggunakan amalan amalan syirik. Kita diperbolehkan menyebut keburukan  atau keaiban orang orang berkenaan supaya muslimin yang lain dapat  sentiasa waspada dan tidak terpedaya oleh mereka. Tetapi dalam hal ini  kita tidak boleh menceritakan cela mereka yang lain kecuali ada  sebab-sebab lain yang membolehkannya sebagaimana tersebut diatas.
 
(6) SEBAGAI TANDA PENGENALAN.
Andaikata  seseorang dikenal dengan gelaran tertentu. Umpamanya: Mamat Pincang,  Jali Sumbing, Enon Gendut dan lain-lain maka dibolehkan kita menyebut  sifat-sifat tersebut tetapi dengan syarat tidak dengan nada atau tujuan  menghina dan merendah rendahkan. Andaikata orang tersebut sudah dapat  dikenal tanpa menggunakan gelaran-gelaran diatas maka itu adalah lebih  baik. >
<ustaz azhar idrus (original>
No comments:
Post a Comment