Saya turut serta rakan-rakan Ahli Parlimen yang lain di dalam solidariti  dan menyampaikan ucapan takziah kepada Negara serta rakyat Jepun.   Ribuan nyawa manusia telah kehilangan akibat tragedi tersebut.  Ribuan  manusia bersedih di atas kehilangan dan kematian keluarga tercinta.   Malah seluruh dunia berdukacita diatas bencana yang Alam Sekitar dan  keselamatan penduduk bukan merupakan satu isu yang selalu mendapat  perhatian awam di Malaysia sehinggalah tragedi seperti ini berlaku dan  kita semua telah menyaksikan dengan perasaan gerun bercampur terharu  serta sedih melalui kaca televisyen tentang bagaimana dasyatnya keadaan  di Negara Jepun apabila tsunami melanda.
Sehubungan dengan  perbahasan Alam Sekitar ini, saya ingin membawa isu berkenaan refinery  plant ataupun logi pemprosesan rare earth kepunyaan Lynas Corp Ltd di  Kuantan.  Perkara ini telah saya bangkitkan buat pertama kalinya di  dewan yang mulia ini pada 18 November 2008 dan seterusnya buat beberapa  kali lagi.  Namun perkara ini masih belum dianggap penting oleh Kerajaan  Malaysia.  Projek ini masih diteruskan sehinggalah seorang wartawan  NYT, Keith Bradsher telah terbang jauh ke Kuantan untuk membuat  penyelidikan dan seterusnya akhbar New York Times pada 7 November 2011.
Apabila  masyarakat antarabangsa mula mengambil perhatian tentang perkembangan  yang berlaku di Malaysia berkenaan isu ini, maka rakyat di Malaysia juga  sudah mula bercakap dan berbahas di kedai kopi serta di media sosial  dan internet.
Setelah lebih dua tahun berbahas mengenai isu ini  saya masih tidak faham apakah rasionalnya Kerajaan Pusat mahupun  Kerajaan Negeri Pahang bertegas dan beria-ia mahu meneruskan projek ini.   Jelas tiada siapa yang akan mendapat keuntungan dari projek ini.
Memang  industri ini merupakan industri yang strategik akan tetapi, wajarkah  Malaysia melibatkan diri didalam keadaan tiada keuntungan buat Negara  kita? Memang kita tiada mendapat keuntungan langsung.  Hanya risiko yang  menanti.
Hanya risiko yang menanti
Saya jelaskan dan tegaskan keadaan ini adalah kerana:-
1.  LYNAS CORPORATION LTD merupakan syarikat milik penuh Australia (tiada  'local partner' di atas kertas).  Maksudnya tiada syarikat milik rakyat  Malaysia yang akan mendapat keuntungan dengan projek ini.
2.  LYNAS CORPORATION LTD dianugerahkan oleh MITI "Strategic Pioneer Status"  - tidak perlu membayar cukai import atau export selama 12 tahun.  Maka  tiada keuntungan buat Malaysia dari segi cukai korporat yang dikutip.   Syarikat LYNAS Corp Ltd akan mendapat US$1.7 billion setahun daripada  nilai export rare earth dan Malaysia tidak akan dapat satu sen pun dalam  bentuk cukai selama 12 tahun.
3. Logi pemprosesan rare earth di  Gebeng apabila beroperasi hanya akan mengambil 450 orang pekerja (tidak  'labour intensive').  Kebanyakan pekerja pula akan merupakan tenaga  mahir dari luar Negara dan sedikit sahaja bilangan buruh dari tempatan.
Yang  ada kesan ke atas kita, hanyalah risiko di atas sisa buangan thorium  yang mengandungi bahan radioaktif.  Malaysia mendapat penghormatan  menjadi "dumping ground" atau tapak buangan sisa bahan radioaktif dan  rakyat Kuantan menjadi mangsa tak pasal-pasal.
Di seluruh dunia,  buat ketika ini, selain di Negara China, hanya Negara India yang punyai  logi pemprosesan rare earth - itu pun dalam skala yang amat kecil.   Malaysia pula merupakan hanya satu-satu Negara di dunia yang akan  melibatkan diri dalam pemprosesan rare earth ini di dalam rangka masa 30  tahun kebelakangan ini.  Apabila seluruh dunia sudah punyai kesedaran  tentang bahaya rare earth dan menolak untuk memproses bahan ini selama  lebih tiga dekad, Malaysia buat keputusan untuk menerima pula?
Cucu-cicit boleh jadi mangsa
Negara  China memang ada kepentingan untuk memproses "rare earth", kerana  mereka sekarang mengawal pasaran dunia di dalam industri strategik ini.   Malah kilang LYNAS di Negara China sebelum ini diarahkan tutup kerana  Negara Cina mahu mengawal pasaran dunia.  Sekarang ini Negara China juga  meletakkan embargo ke atas "rare earth" ini demi untuk menjaga harga di  pasaran dunia dan mengaut keuntungan yang lebih banyak.
Negara  Amerika Syarikat dan Canada juga mempunyai deposit "rare earth" akan  tetapi berhenti melombong bahan ini kerana Negara China dapat  menghasilkannya dengan lebih murah.  Negara China yang mempunyai lombong  "rare earth" mereka sendiri, mempunyai lebih kurang 30% daripada  deposit di dunia akan tetapi mengawal 97% dari produk rare earth dalam  pasaran.  Maka di atas sebab itu mereka ada sebab untuk meneruskan  pemprosesannya di sana, walaupun logi pemprosesan mereka di Shanghai  sungguh-sungguh tidak menepati piawaian Alam Sekitar yang di tetapkan  dunia antarabangsa.
Malaysia tiada lombong "rare earth" dan  Malaysia tidak PERLU untuk proses "rare earth" ini.  Seluruh dunia  selama tiga dekad sudah pun menolak untuk memproses bahan ini.
Penegasan  dari saya ialah Negara Malaysia mahupun Kerajaan Negeri Pahang tidak  mendapat keuntungan dari jumlah export LYNAS CORP sebanyak US$1.7  billion setahun hasil dari pemprosesan bermula pada penghujung tahun  ini.
Apa yang rakyat Malaysia, khususnya warga Kuantan hanya akan  dapat ialah sisa buangan yang mengandungi thorium.  Satu bahan yang  radioaktif serta juga carcinogenic (boleh menyebabkan cancer).
Yang  paling merisaukan ialah, kesan-kesan negatif dari bahan buangan  radiaoaktif bukan sahaja akan berlarutan selama satu atau dua tahun -  tetapi beribu-ribu tahun!!!  Ini bermaksud, Cucu kita, cicit kita, dan  cucu kepada cicit kita juga boleh menjadi mangsa!
Kenyataan PM dan TPM
Saya  di fahamkan bahawa Malaysian Atomic Energy Licensing Board (AELB) hanya  mengeluarkan lesen kepada LYNAS Corp Ltd untuk bina logi pemprosesan di  gebeng Kuantan akan tetapi belum lagi mengeluarkan Lesen untuk  beroperasi memproses rare earth. (Memetik Kenyataan Ketua Pengarah AELB)
Timbalan  Perdana Menteri juga berkata beliau tidak pasti samada logi Lynas di  Gebeng sudah mendapat kebenaran beroperasi atau tidak.  Timbalan Perdana  Menteri juga berkata beliau akui bahawa ada kerisauan rakyat berkenaan  pembinaan logi rare earth di Gebeng Kuantan ini.
Akan tetapi  Perdana Menteri sudah pun membuat kenyataan bahawa semua langkah  keselamatan telah diambil di logi Lynas Gebeng.  Mana mungkin PM membuat  kenyataan demikian di dalam keadaan AELB masih lagi meneliti prosedur  keselamatan berkenaan pengurusan sisa buangan di logi Lynas.
Sehubungan  dengan itu, saya ingin bertanya kepada AELB selain dari laporan dalaman  agensi, adakah AELB sudah berusaha mendapatkan laporan dan kajian dari  Badan Bebas (Independent Risk Assessment) berkenaan risiko yang akan  kita bakal hadapi dan impak daripada bahan sisa buangan yang mengandungi  thorium ini.  Selama ini apabila saya menuntut satu DEIA dibuat ke atas  projek ini, pihak Kementerian buat tak tahu juga.
Tregedi Bukit Merah
Buat masa ini LYNAS masih belum ada perancangan konkrit berkenaan bagaimana sisa yang mengandungi thorium itu akan diselenggara.
Saya  tegaskan di sini bahawa apa yang terbaik patut dilakukan oleh AELB  ialah hentikan segala niat untuk keluarkan lesen memproses rare earth  kepada LYNAS.  Logi LYNAS kini masih di dalam binaan dan belum bermula  operasi sehingga penggal terakhir tahun ini.  AELB masih sempat balik ke  pangkal jalan dan buat keputusan yang terbaik demi rakyat.
Adakah  kita mahu tunggu ada kes seperti di Bukit Merah, ada anak pekerja yang  lahir cacat, abnormal, baru kita mahu bertindak?  Adakah nyawa dan  keselamatan rakyat Kuantan begitu tidak berharga kepada Kerajaan  Malaysia?
Pada ketika ini, kebanyakan rakyat Kuantan sudah pun  menyedari risiko yang dibawa oleh logi Lynas ini dan sedang bangkit  untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka.  Sekiranya selama ini pihak  MOSTI, Kerajaan tempatan mahupun LYNAS mampu memperkecilkan isu ini  dengan membuat "PR exercise", kini tidak lagi.
Selaku wakil  rakyat di Kuantan usaha saya membela keselamatan rakyat Kuantan akan  saya teruskan sehinggalah logi pemrosesan LYNAS yang kini dalam binaan  ditutup dan kita hantar mereka balik ke Australia.  Kalau mereka  terdesak sangat mahu memproses rare earth mereka, buat lah logi  pemprosesan di Negara mereka sendiri.
Sehubungan dengan itu, saya  gesa sekali lagi, AELB, untuk hentikan serta merta segala usaha yang  menjurus kepada pengeluaran lesen kepada LYNAS untuk beroperasi.  Malah  pada saya isu ini tidak seharusnya timbul untuk dibahaskan kerana  Kerajaan Malaysia sepatutnya sudah awal-awal lagi menolak projek yang  tidak mendatangkan manfaat serta tidak membawa keuntungan serta faedah  di dalam semua aspek kepada Negara ini.
Latar belakang maklumat Pemprosesan bahan yang sama di Malaysia sebelum ini:
1.  November 1979: Syarikat Asian Rare Earth (ARE) dibentuk untuk  mengekstrak itrium (sejenis unsur nadir bumi) daripada monazit.  Sisa  buangan yang menjadi milik kerajaan Negeri Perak akan disimpan kerana  berpotensi sebagai sumber tenaga nuklear.
2. Jun 1982: Penduduk  Parit, Perak mendapat tahu kerajaan telah memilih kawasan seluas  sembilan ekar, kira-kira 6 km dari penempatan mereka untuk dijadikan  tapak penimbunan sisa radioaktif syarikat ARE.  Ekoran bantahan hebat  daripada jawatankuasa penduduk serta lain-lain pertubuhan politik dan  sosial, kerajaan membatalkan cadangan itu dan kemudian mula mencari  tapak baru.  Kilang ARE mula beroperasi di KM 7.2, Jalan Lahat di Bukit  Merah.
3. 24 Mei 1985: Kira-kira 6,700 penduduk Papan dan  pekan-pekan yang berhampiran menandatangani satu surat bantahan dan  menghantarnya kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Perak, Menteri  Kesihatan serta Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.  Kemudian  seramai 200 penduduk Papan membantah tapak pembuangan yang dicadangkan.   Mereka menyekat jalan yang menuju ke tapak itu.  Pelbagai tunjuk  perasaan telah diadakan oleh masyarakat setempat sebagai membantah  tindakan kerajaan ini.
Kemudian pada 19 September 1985,  sekumpulan tiga orang dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengunjungi tapak buangan di Papan atas  jemputan kerajaan Malaysia.  Mereka mengisytiharkan tapak buangan itu  tidak selamat.
4. 11 Januari 1985: Selepas mesyuarat kabinet yang  dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Musa Hitam,  kerajaan mengambil keputusan memindahkan tapak buangan sisa ke Mukim  Belanja di Banjaran Kledang yang terletak kira-kira 5 km dari Papan dan 3  km dari Menglembu.  Lapan orang penduduk, bagi pihak diri mereka  sendiri dan penduduk Bukit Merah membuat satu permohonan di Mahkamah  Tinggi Ipoh menahan ARE daripada mengeluar, menyimpan atau menimbun sisa  radioaktif di sekitar kampung tersebut.  Akta Perlesenan Tenaga Atom  1984 dikuatkuasakan.  Ia memastikan pengendali bahagian pemasangan  nuklear (termasuk kerajaan) bertanggungjawab terhadap ancaman nuklear.   Lima ahli Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dibentuk di bawah Akta  itu, dengan perwakilan dari Puspati, Kementerian Kesihatan serta  Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.
Kemudian Hakim  Anuar Datuk Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan kepada  penduduk Bukit Merah perintah menahan dan menghentikan ARE daripada  mengeluar dan menimbun bahan sisa radioaktif sehingga langkah-langkah  keselamatan yang secukupnya diambil.  Lebih daripada 1,500 penduduk  Bukit Merah hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan itu.
5. Kemudian pada 19 Januari 1994 ARE telah memberhentikan operasinya.
*Fuziah  Salleh ialah ahli parlimen Kuantan, merangkap Naib Presiden PKR.   Tulisan ini disedut daripada ucapan Perbahasan Titah DYMM SPB Yang Di  Pertuan Agung sidang parlimen Penggal Ke-4, Parlimen Ke-12.