Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat   Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi   Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia   tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua   warganegara dijamin hak yang sama.
Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak   rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan   Persekutuan.
Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan
Hak terhadap harta.
(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.
(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi   mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada   pampasan yang mencukupi.
Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah   melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan   sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta   alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan   dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya   termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika   seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan   mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat   itu telah dinafikan haknya terhadap harta.
Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta   (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan   undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah   diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui   cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ   hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.
Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak   yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang  rakyat  bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan  dihalang oleh  JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau.  Beliau telah  memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan  bahawa tindakan  JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau  memperbaharui cukai jalan  adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi  daripada JPJ di atas  kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta  tersebut tidak boleh  digunakan kerana tiada cukai jalan.
Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam   kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah.   Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan   Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi   kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat   menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.
Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan   pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai   jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan.   Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.
Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman   sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap   salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu   RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?
Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu  peraturan  dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga  mengikut  peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika  ada  yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan  di  Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan   diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS   mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda.   Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak.   Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah,   maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah.   Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui   kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya   bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak.   Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan   mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan   untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput   juga samann itu. Tidak tertunggak.
Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana   saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang   dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.
Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi   sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang   dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran   kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia   dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau   dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan   maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran.   Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya   hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju.   Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka   saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila   pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan   kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Dendan   hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan   bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak   berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka   bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.
Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah   terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda... TIADA SIAPA   BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda  Mampu  Mengubahnya.
Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan?
1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010
JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi  termasuk  perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa  seseorang  ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.
Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?
2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010
JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat  representasi.  Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah  seseorang itu  ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu  hadir iaitu  pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman.  Perlu  disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu  betul  atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak  maka  JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI
3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010
Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ   hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua   Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada   pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik.   Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?
Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:
a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.
b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.
c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh   menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan   kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan   kenderaan.
Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
No comments:
Post a Comment