Dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a katanya, "Aku sedang duduk  bersila di dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. datang dan masuk  sambil memberi salam kepadaku. Aku segera bangun kerana menghormati dan  memuliakannya sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam  rumah. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Duduklah di tempat duduk, tidak  usahlah berdiri, wahai Ummul Mukminin." Maka Rasulullah s.a.w. duduk  sambil meletakkan kepalanya di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan  tertidur.
Maka aku hilangkan uban pada janggutnya, dan aku  dapat 19 rambut yang sudah putih. Maka terfikirlah dalam hatiku dan aku  berkata, "Sesungguhnya baginda akan meninggalkan dunia ini sebelum aku  sehingga tetaplah satu umat yang ditinggalkan olehnya nabinya." Maka aku  menangis sehingga mengalir air mataku jatuh menitis pada wajah baginda.  Baginda s.a.w. terbangun dari tidurnya seraya bertanya, "Apakah  sebabnya sehingga engkau menangis wahai Ummul Mukminin?" Masa aku  ceritakan kisah tadi kepadanya, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya,  "Keadaan bagaimanakah yang hebat bagi mayat?" Kataku, "Tunjukkan wahai  Rasulullah!"
Rasulullah s.a.w. berkata, "Engkaulah katakan!,"  Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada keadaan lebih hebat bagi mayat ketika  keluarnya mayat dari rumahnya di mana anak-anaknya sama-sama bersedih  hati di belakangnya. Mereka sama-sama berkata, "Aduhai ayah, aduhai ibu!  Ayahnya pula mengatakan: "Aduhai anak!" Rasulullah s.a.w. bertanya  lagi: "Itu juga termasuk hebat. Maka, manakah lagi yang lebih hebat  daripada itu?" Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada hal yang lebih hebat  daripada mayat ketika ia diletakkan ke dalam liang lahad dan ditimbuni  tanah ke atasnya. Kaum kerabat semuanya kembali. Begitu pula dengan  anak-anak dan para kekasihnya semuanya kembali, mereka menyerahkan  kepada Allah berserta dengan segala amal perbuatannya." Rasulullah  s.a.w. bertanya lagi, "Adakah lagi yang lebih hebat daripada itu?" Jawab  Aisyah, "Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih tahu."
Maka bersabda Rasulullah s.a.w.: "Wahai Aisyah,  sesungguhnya sehebat-hebat keadaan mayat ialah ketika orang yang  memandikan masuk ke rumahnya untuk memandikannya. Maka keluarlah cincin  di masa remaja dari jari-jarinya dan ia melepaskan pakaian pengantin  dari badannya. Bagi para pemimpin dan fuqaha, sama melepaskan serban  dari kepalanya untuk dimandikan."Di kala itu rohnya memanggil, ketika ia  melihat mayat dalam keadaan telanjang dengan suara yang seluruh makhluk  mendengar kecuali jin dan manusia yang tidak mendengar. Maka berkata  roh, "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah,  lepaskanlah pakaianku dengan perlahan-lahan sebab di saat ini aku  berehat dari kesakitan sakaratul maut." Dan apabila air disiram maka  akan berkata mayat, "Wahai orang yang memandikan akan roh Allah,  janganlah engkau menyiram air dalam keadaan yang panas dan janganlah  pula dalam keadaan sejuk kerana tubuhku terbakar dari sebab lepasnya  roh," Dan jika mereka memandikan, maka berkata roh: "Demi Allah, wahai  orang yang memandikan, janganlah engkau gosok tubuhku dengan kuat sebab  tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh."
Apabila telah selesai dari dimandikan dan  diletakkan pada kafan serta tempat kedua telapaknya sudah diikat, maka  mayat memanggil, "Wahai orang yang memandikanku, janganlah engkau  kuat-kuatkan dalam mengafani kepalaku sehingga aku dapat melihat wajah  anak-anakku dan kaum keluargaku sebab ini adalah penglihatan terakhirku  pada mereka. Adapun pada hari ini aku dipisahkan dari mereka dan aku  tidakakan dapat berjumpa lagi sehingga hari kiamat." Apabila mayat  dikeluarkan dari rumah, maka mayat akan menyeru, "Demi Allah, wahai  jemaahku, aku telah meninggalkan isteriku menjadi janda, maka janganlah  kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah menyakiti  mereka. Sesungguhnya pada hari ini aku akan dikeluarkan dari rumahku dan  meninggalkan segala yang kucintai dan aku tidak lagi akan kembali untuk  selama-lamanya."
Apabila mayat diletakkan ke dalam keranda, maka  berkata lagi mayat, "Demi Allah, wahai jemaahku, janganlah kamu  percepatkan aku sehingga aku mendengar suara ahliku, anak-anakku dan  kaum keluargaku. Sesungguhnya hari ini ialah hari perpisahanku dengan  mereka sehingga hari kiamat."
No comments:
Post a Comment